Selasa, 24 September 2013

Kepelbagaian Sumber Di Bumi

      Kepelbagaian Sumber Di Bumi. Bumi ialah satu-satunya planet dalam sistem suria yang mempunyai hidupan. Bumi mengandungi berbagai-bagai sumber yang penting untuk menyokong kesinambungan hidup. Contohnya, air, udara, tanah, mineral, bahan api fosil dan hidupan.


a)   Air
*    Air merupakan sumber Bumi yang penting, Air diperlukan oleh semua hidupan. Selain menjadi habitat yang penting, air juga memberi sokongan keapungan kepada hidupan air.

b)   Udara
*      Bumi diselaputi satu lapisan atmosfera yang mengandungi udara. Udara merupakan satu campuran pelbagai jenis gas seperti nitrogen, oksigen, karbon dioksida, gas nadir dan wap air. Udara diperlukan oleh semua hidupan terutamanya untuk bernafas.

c)   Tanah
*      Permukaan Bumi diliputi satu lapisan tanah. Tanah terdiri daripada campuran pasir, lumpur, mineral, udara, air, humus dan mikroorganisma. Humus terbentuk daripada reputan tumbuhan dan haiwan yang mati. Tanah merupakan habitat yang penting kepada pelbagai jenis tumbuhan serta haiwan kecil.

d)   Mineral
*      Terdapat pelbagai mineral yang sangat berguna di dalam kerak bumi. Mineral-mineral ini dicari ganti dan diekstrak untuk memperoleh bahan yang berguna seperti besi, timah, kuprum, aluminium, emas, perak, sulfur serta silikon.

e)   Bahan api fosil
*      Petroleum, gas asli dan arang batu ialah contoh bahan api fosil. Bahan api fosil terbentuk apabila haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang mati tertimbus di dalam tanah dikenakan tekanan dan haba yang tinggi selama berjuta-juta tahun. Bahan api fosil merupakan sumber tenaga yang penting untuk pemanasan, pengangkutan dan penjanaan tenaga elektrik.

f)   Hidupan
*     Bumi yang kaya dengan pelbagai sumber alam berupaya menampung berjuta-juta jenis tumbuhan dan haiwan di atas permukaanya. Kewujudan pelbagai jenis hidupan ini membentuk satu sistem alam yang seimbang. Haiwan dan tumbuhan merupakan sumber makanan, bahan api, pakaian dan bahan binaan yang penting untuk kehidupan harian kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan